Tuesday, March 16, 2010

50 TAHUN PENUBUHAN KKLW; MEMACU KEMAJUAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA

Kemerdekaan membawa erti yang besar kepada sesebuah negara bangsa. Kita telah mengecapinya selama lebih 52 tahun yang penuh dengan warna-warni. Kita harungi dengan pelbagai kepayahan dan diselangi dengan kegembiraan. Itulah sebuah bumi bertuah yang dulunya di kenali dengan nama 'Tanah Melayu'. Pembangunan negara telah berjalan dengan rancak bagaikan tiada noktah. Kawasan perbandaran dibangunkan manakala kawasan luar bandar terus dimajukan. Kita jangan lupa tentang peranan KKLW dalam pembangunan kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah akan menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya pada 20 Mac 2010 di Dataran Lipis, Kuala Lipis, Pahang.

Beberapa fakta penting tentang KKLW:

Pertama:
Transformasi Pembangunan Luar Bandar Pertama diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1957 dengan matlamat untuk membangunkan prasarana fizikal dan membekalkan secara meluas kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.

Rancangan Buku Merah (RED Book) dilancarkan pada 6 Mei 1960 untuk menjadikan aturcara pembangunan selari disemua kawasan-kawasan luar bandar dengan pelaksanaan melalui 3 peringkat iaitu peringkat Pusat, Negeri dan Daerah.

Kedua:
Bahagian Pelajaran Dewasa yang ditubuhkan pada tahun 1961 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah langkah permulaan untuk pembangunan modal insan dengan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar.

Bahagian ini pada tahun 1977 selanjutnya diberi nama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang pada dasarnya terlibat dalam pembangunan modal insan dan pembangunan masyarakat luar bandar.

Ketiga:
Pada 10 Jun 1984, Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir adalah usaha menyeluruh untuk memperbaiki taraf ekonomi masyarakat luar bandar.

Ia bertujuan untuk meningkatkan mutu dan daya pengeluaran pertanian, meninggikan pendapatan petani dan pekerja desa serta memudahkan penyampaian perkhidmatan dan prasaran. Ia juga akan mengurangkan kemiskinan dengan memupuk semangat berusaha berkerjasama disamping menimbulkan sifat-sifat jaya diri dalam usaha ekonomi yang menguntungkan.

Keempat:
Transformasi Pembangunan Luar Bandar Kedua pada tahun 1994 adalah bermulanya tumpuan kepada pembangunan sumber daya insaniah terutamanya pembangunan insan bagi masyarakat luar bandar.

Ia merupakan suatu anjakan paradigma pemikiran dan pendekatan sebagai pelengkap kepada falsafah yang mendasari Transformasi Pembangunan Luar Bandar Pertama.

Transformasi ini dapat dilihat dengan jelas apabila jentera digunakan untuk meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan tenaga kerja.

Kelima:
Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang dilancarkan pada 4 Julai 1996 oleh Tun Dr Mahathir Muhammad menekankan kepada penglibatan penduduk kampung itu sendiri dalam proses perancangan dan program pembangunan ke arah menjadikan desa lebih maju, menarik dan menguntungkan.

Ia adalah usaha yang te
rsusun dan berterusan melalui proses membangkitan kesedaran dan pembangunan sikap penduduk kampung ke arah transformasi luar bandar.

Keenam:
Gerakan Daya Wawasan (GDayaW) yang dilancarkan pada tahun 2003 adalah untuk memastikan kawasan luar bandar mencapai kemajuan berganda dengan secepat mungkin bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan desa maju, menarik dan menguntungkan.

GDayaW merupakan sintesis strategik dan penambahbaikan daripada dua pendekatan uatam pembangunan luar bandar iaitu Halacara Baru Pembangunan Kampung dan Luar Bandar; dan GDW.

Terdapat 3 aspek daya yang diberi penekanan iaitu Daya Manusia, Daya Ekonomi dan Daya Pasaran.

Ketujuh:
Program Lonjakan Mega Luar Bandar melalui Program Agropolitan telah dilancarkan pada 11 Ogos 2007 oleh Dato' Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi di Pulau Banggi, Sabah.

Ia adalah satu projek Agropolitan yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

Sudah pastinya selepas ini kita akan dapat melihat satu perubahan yang besar di negara kita. Pelbagai perancangan dibuat oleh Kerajaan untuk mempercepatkan Transformasi Kedua ini, namum begitu kita sebagai rakyat di negara berdaulat ini harus memberikan kerjasama yang padu agar segala perancangan ini dapat dilaksanakan.

Semua ini adalah untuk RAKYAT .Tanpa perubahan sikap serta minda masyarakat untuk menerima perubahan maka segala perancangan tidak akan menjadi realiti.