Wednesday, October 28, 2009

SIAPA JOHAN ADC 2009 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

Lawatan Panel Hakim ADC 2009 ke Kampung Panchor Merah, Setiu pada 27 Okt. 2009 menandakan berakhirnya proses panghakiman ADC Peringkat negeri Terengganu yang bermula sejak 19 Oktober. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada panel hakim yang terus memberikan kerjasama sehingga proses penghakiman ini selesai. Bukannya mudah menjadi urusetia terutama bila menguruskan sesuatu pertandingan di peringkat negeri. Syukur, pihak KEMAS Negeri Terengganu terutama Unit Operasi II telah berusaha memberikan yang terbaik terutama kepada panel hakim.

Panel Hakim ADC 2009 Peringkat Negeri Terengganu

Bagi kampung-kampung yang bertanding dan telah memberikan persembahan dihadapan panel hakim, debaran pula menanti mereka. Kini persoalannya...siapakah yang akan menjadi Johan dan akan mewakili negeri Terengganu ke Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan pada tahun hadapan (2010 ).

Saya pasti, setiap orang mempunyai pandangan yang tersendiri.Namun begitu, keputusan hakim adalah muktamad. Kita akan memilih kampung yang akan mewakili negeri Terengganu ke peringkat Kebangsaan. Kita harus membuat pilihan yang terbaik untuk memastikan kemenangan kita. Impian saya bila bertugas dibahagian ini dahulu ialah mencipta kampung yang boleh mewakili negeri ini ke Pertandingan ADC peringkat Kebangsaan dan menjadi Johan, membawa pulang gelaran itu ke negeri Terengganu. Bagi saya, tahun ini merupakan tahun yang sesuai...tuah akan menyebelahi kami... mungkin...

Menyingkap kembali pada tahun 2007, bila Kampung Kelulut, Marang terpilih mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan, saya cukup yakin Kampung Kelulut akan mendapat salah satu daripada tiga tempat teratas. Kami bekerja dan merancang bersama penduduk kampung untuk memastikan kemenangan. Tetapi oleh kerana beberapa masalah pengurusan, Kampung Kelulut hanya mendapat hadiah kategori Ekonomi sahaja. Tapi saya tetap bersyukur. Kita tidak dapat mengawal semua perkara terutama bila kita menguruskan 'masyarakat'.

Melalui Program Penjanaan Kampung Bestari,ia telah melahirkan 2 kampung yang telah menjadi johan ADC diperingkat daerah. Kampung berkenaan ialah Kampung Chabang dan Kampung Tanjung Baru.

Banyak yang telah berubah pada kedua-dua kampung ini. Kepimpinan JKKK kampung ini telah berjaya merancang dan menguruskan pembangunan kampung dengan sebaiknya. Sebagai contohnya, kalau dulu persembahan JKKK Kampung Tanjung Baru mahupun Kampung Chabang cukup hambar dan kurang memberikan input berguna kepada panel hakim tetapi kini semuanya berubah.Masing-masing telah menunjukkkan kehebatan dalam persembahan, buku taklimat yang diisi dengan banyak input tentang apa yang telah dibuat sepanjang tahun.

Dari segi kepimpiman JKKK, semua biro diurus dengan baik supaya perancangan aktiviti selari dengan visi dan misi pembangunan JKKK induk.

Terlalu banyak untuk diperkatakan disini, pendek kata; banyak perubahan kearah kebaikan telah berlaku dan ianya cukup menbanggakan.

Bagi kampung Alor Limbat pula, saya yakin....umpama bandar kecil dihutan belantara. Disini semua telah tersedia dengan kemudahan infrastruktur, pembangunan sosial ekonomi, modal insan dan perancangan jangka panjang.

Walaupun kampung ini terletak berhampiran dengan kawasan bandar tetapi tanpa perancangan dan kesatuan seluruh warganya, kejayaan yang diraih selama ini tidak akan menjadi kenyataan. Disini tidak timbul soal kebergantungan kepada sumber luar, bantuan dan sebagainya. Kesungguhan JKKK untuk menggunakan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan, NGO's atau orang perseorangan yang boleh membantu menjayakan program mereka diambil kira. Yang pentingnya konsep perancangan dari ' bawah ke atas ' (bottom-up strategy) perlu diaplikasikan dengan sebaiknya.

Semua kampung yang masuk bertanding pada tahun ini merupakan kampung-kampung yang cukup hebat serta mempunyai keunikan tersendiri.

Cuma bagi saya, kesedaran ICT di kawasan luar bandar masih kurang sedangkan kita sekarang ini sedang melalui zaman ledakan teknologi dalam semua perkara. Jika kita tidak mengejarnya, kita akan ketinggalan namun kita juga harus sedar kesan buruknya.

Masyarakat luar bandar harus didedahkan dengan 'ledakan' ini supaya jurang digital antara luar bandar dengan kawasan bandar dapat dirapatkan. Terlalu banyak perkara yang memudahkan kerja kita jika kita dapat menguasai kemajuan teknologi pada zaman ini. Mempromosikan produk dan industri desa boleh dilakukan sendiri tanpa perlu mengharap kepada agensi kerajaan. Blog memprosikan kampung dan keunikannya, pertukaran idea pembangunan dan pengalaman boleh dibuat secara maya dengan kampung-kampung serata dunia.

Dipihak penyedia perkhidmatan pula, prasarana talian internet jalurlebar patut diperluaskan dengan segera. Talian yang kurang berkualiti patut dipertingkatkan bagi manafaat seluruh warga desa. Bagi saya teknologi terbaru walaupun mahal ia adalah untuk kegunaan dan kebaikan sejagat.

Tanggal 11 November ini merupakan penentu siapa Johan ADC 2009 yang bakal mewakili negeri Terengganu ke peringkat Kebangaan. Majlis ini bakal dirasmikan oleh YAB Dato' Ahmad b. Said, Menteri Besar Terengganu. Kehadiran YAB Menteri Besar merupakan satu penghormatan dan memberi makna yang cukup besar kepada usaha kita semua selama ini. Kerjasama dari pejabat YB Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri pada tahun ini juga cukup memuaskan.

SIAPA JUARA ANTARA JUARA.........